“AAHHHH!” Saya menjerit apabila sebuah lori daripada sebuah syarikat pembaikan memintas di hadapan saya.
Pada ketika itu juga saya ternampak satu mesej papan tanda pada lori itu: “Adakah Saya Pemandu yang Baik?” serta satu nombor telefon. Saya terus mendail nombor tersebut. Seorang wanita bertanya sebab saya menelefon, dan saya pun meluahkan geram. Dia mencatatkan nombor plat lori tersebut. Kemudian dia berkata, dengan lelah, “Tahukah anda, anda sentiasa boleh menelefon untuk melaporkan seseorang yang memandu dengan baik.”
Aduh. Kata-katanya yang tidak bermaya itu terus menusuk ego yang menganggap diri saya soleh. Perasaan malu menyelubungi saya. Dengan semangat yang membara untuk “keadilan,” tidak terlintas langsung di fikiran saya bahawa nada suara saya yang penuh dengan kemarahan boleh menjejaskan wanita ini dalam mengendalikan pekerjaannya yang sukar. Iman dan buah rohani saya—pada ketika itu—amat menghampakan.
Jurang antara perlakuan dan pegangan kita ialah fokus kitab Yakobus. Dalam Yakobus 1:19-20, kita membaca, “Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah.” Kemudian, dia menambah, “jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman: lakukanlah firman itu” (ayat 22).
Tiada seorang pun adalah sempurna. Kadangkala “hidup kita memerlukan bantuan untuk kemahiran “memandu”, sesuatu yang bermula dengan pengakuan dosa dan meminta pertolongan Tuhan—mempercayai Dia akan terus menghaluskan keperibadian kita yang kasar.