Larian maraton memerlukan dorongan diri yang kuat secara fizikal dan mental. Bagaimanapun, bagi seorang pelari sekolah menengah, bertanding dalam larian merentas desa melibatkan tenaga menolak (menyorong) orang lain. Dalam setiap latihan dan perlumbaan, Susan Bergeman yang berumur 14 tahun menyorong abangnya, Jeffrey yang duduk di kerusi roda. Jeffrey mengalami serangan jantung ketika berumur 22 bulan. Ini mengakibatkan dia mengalami kerosakan otak yang serius dan menghidapi palsi serebrum. Hari ini, Susan mengorbankan matlamat peribadi dalam lariannya supaya Jeffrey boleh bertanding bersama dengan dia. Itu adalah kasih dan pengorbanan yang hebat!
Rasul Paulus berfikir tentang kasih dan pengorbanan apabila dia menggalakkan pembacanya “saling menghormati dan mengutamakan” (Roma 12:10). Dia mengetahui bahawa orang percaya di Roma bergelut dengan kecemburuan, kemarahan dan perselisihan faham yang mendalam (ayat 18). Oleh itu , dia menggalakkan mereka membiarkan kasih Tuhan memerintah hati mereka. Kasih sedemikian, yang berakar dalam kasih Kristus, akan berjuang untuk kebaikan orang lain. Ini adalah kasih yang ikhlas dan memupuk kemurahan hati (ayat 13). Mereka yang mengasihi dengan cara ini akan menganggap orang lain lebih layak dihormati daripada diri sendiri (ayat 16).
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, setiap kita berada dalam perlumbaan kasih sambil menolong orang lain untuk menamatkan larian tersebut. Walaupun perlumbaan ini boleh menjadi sukar, ia akan membawa kemuliaan kepada Yesus. Oleh itu, demi kasih, marilah kita bergantung pada-Nya untuk membolehkan kita mengasihi dan melayani orang lain.