Video tular tentang seekor ibu beruang yang cuba membawa empat ekor anak kecilnya yang aktif melintasi sebuah jalan raya yang sibuk, membuat saya tersenyum. Kita boleh mengaitkan diri dengan adegan ini ketika melihat ibu beruang itu mengangkat anaknya satu persatu untuk melintas ke seberang jalan—tetapi anak beruang tersebut pula berjalan balik ke seberang jalan. Selepas banyak cubaan yang mengecewakan, ibu beruang akhirnya mengumpulkan keempat-empat anaknya dan keluarga beruang ini berjaya melintas jalan dengan selamat.

Tugas keibubapaan tanpa lelah yang ditunjukkan dalam video tersebut adalah sama dengan gambaran yang digunakan oleh Paulus untuk menggambarkan keprihatinannya terhadap jemaah di Tesalonika. Daripada mengutamakan kewibawaannya, rasul Paulus membandingkan tugasnya dengan peranan ibu bapa yang menjaga anak-anak kecil (1 Tesalonika 2:7, 11). Kasih yang mendalam terhadap jemaah di Tesalonika (ayat 8) mendorong Paulus untuk terus berusaha memberi galakan, penghiburan dan menggesa mereka “hidup dengan cara yang diredai Allah” (ayat 12). Seruan yang bersemangat ini agar orang menjalankan kehidupan yang salih lahir daripada keinginannya yang penuh kasih untuk melihat orang menghormati Tuhan dalam semua aspek kehidupan mereka.

Contoh yang diberikan oleh Paulus boleh menjadi panduan bagi setiap kita dalam aspek kepimpinan—terutamanya apabila tanggungjawab tersebut membuat kita lelah. Dengan kekuatan yang diberi oleh Roh Tuhan, kita mampu mengasihi mereka yang di bawah jagaan kita secara berterusan dan lemah lembut, sambil menggalakkan dan membimbing mereka kepada Yesus.