Dalam buku yang bertajuk Physics, Charles Riborg Mann dan George Ransom Twiss bertanya: “Apabila sebatang pokok tumbang di dalam hutan yang sunyi, dan tiada haiwan yang berdekatan mendengarnya, adakah ia membuat bunyi?” Selama bertahun-tahun, persoalan ini telah menarik perbincangan filosofi dan saintifik tentang bunyi, persepsi dan kewujudan. Namun belum ada jawapan yang muktamad.
Pada suatu malam, semasa saya berasa keseorangan dan sedih mengenai masalah yang tidak pernah saya berkongsi dengan sesiapapun, saya teringat kembali persoalan ini. Apabila tiada seorang pun yang mendengar tangisan saya meminta pertolongan, saya berfikir, adakah Tuhan mendengar?
Ketika menghadapi ancaman maut dan mengharunginya dengan kesusahan, penulis Mazmur 116 mungkin berasa diabaikan. Oleh itu dia berseru kepada Tuhan—mengetahui bahawa Tuhan akan mendengar dan menolongnya. “Dia telah mendengar suaraku;” tulis si pemazmur, “dan permohonanku… Dia telah menundukkan telinga-Nya ke arahku” (ayat 1-2). Ketika tiada seorang pun yang tahu tentang penderitaan kita, Tuhan tahu. Apabila tiada seorang pun yang mendengar tangisan kita, Tuhan mendengar.
Dengan mengetahui bahawa Tuhan akan menunjukkan kasih dan perlindungan-Nya (ayat 5-6), kita boleh berasa tenang dalam masa yang sukar (ayat 7). Perkataan Ibrani yang diterjemahkan “rehat” (manoakh) menggambarkan tempat yang tenang dan selamat. Kita boleh berasa aman, diperkuatkan dengan jaminan akan kehadiran dan pertolongan Tuhan.
Persoalan yang ditimbulkan oleh Mann dan Twiss membawa kepada pelbagai jawapan. Tetapi bagi persoalan, Adakah Tuhan mendengar? Jawapannya ialah “ya”.