Inilah satu kisah tentang pemandu Albert Einstein. Dia pernah memberitahu Einstein bahawa dia telah mendengar banyak ceramah Einstein sehingga dia sendiri juga boleh menyampaikannya. Maka Einstein mencadangkan mereka bertukar tempat di sebuah universiti seterusnya, kerana di sana tiada seorang pun pernah melihat wajahnya. Pemandunya bersetuju dan menyampaikan ceramah dengan baik. Selepas itu tiba masanya untuk sesi soal jawab. Pemandu itu menjawab seorang penyoal yang agresif dengan berkata, “Nampaknya anda ialah seorang profesor yang bijak, tetapi saya terkejut anda mengajukan soalan yang begitu mudah sehingga pemandu saya pun dapat menjawabnya.” Kemudian “pemandu”nya—Albert Einstein sendiri—memberi jawapan! Jadi begitulah satu cerita yang menarik tetapi rekaan semata-mata.
Tiga orang rakan Daniel yang berani berada dalam bahaya. Raja Nebukadnezar mengancam untuk mencampak mereka ke dalam dapur api yang menyala-nyala jika mereka tidak menyembah patung berhalanya. Dia bertanya, “Maka tuhan manakah yang dapat melepaskan kamu daripada tanganku?” (Daniel 3:15). Rakan-rakan Daniel tidak mahu bersujud menyembah patung berhala tersebut, oleh demikian, raja menyalakan dapur api tujuh kali lebih panas daripada biasa dan kemudian mencampakkan mereka ke dalamnya.
Mereka tidak sendirian di dalam api yang menyala-nyala itu. Satu “malaikat” (ayat 28), mungkin Yesus sendiri, menyertai dan melindungi mereka daripada bahaya, serta memberi jawapan yang tidak dapat dinafikan oleh raja (ayat 24-25). Nebukadnezar memuji “Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego” dan mengakui “tidak ada tuhan lain yang dapat menyelamatkan dengan cara demikian” (ayat 28-29).
Ada ketikanya kita mungkin berasa tidak dapat menangani sesuatu kesukaran. Tetapi Yesus menyertai mereka yang melayani-Nya. Dia akan menolong kita.