Adakah saya akan layak bertanding di Olimpik? Seorang perenang universiti risau tentang kelajuannya yang terlalu perlahan. Tetapi apabila profesor matematik Ken Ono meneliti teknik renangannya, dia tahu cara untuk memperbaiki catatan masanya agar menjadi enam saat lebih cepat—satu perbezaan yang penting pada tahap pertandingan seperti itu. Dengan melekatkan pengesan di belakang badan perenang, dia tidak melancarkan sebarang perubahan besar dalam latihan untuk memperbaiki rekodnya. Sebaliknya, Ono telah mengesan beberapa pembetulan kecil agar perenang itu lebih cekap di dalam air, sehingga menghasilkan perbezaan untuk mencapai kemenangan.
Tindakan pembetulan kecil dalam hal-hal rohani juga boleh menghasilkan perbezaan yang besar kepada kita. Nabi Zakharia mengajar prinsip yang sama kepada saki baki umat Yahudi yang telah tawar hati dalam pergelutan yang dihadapi mereka, berserta jurubina mereka iaitu Zerubabel, semasa membina semula Bait Tuhan selepas pembuangan mereka. Tetapi bukan “dengan kegagahan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan Roh-Ku,” firman TUHAN Yang Maha Kuasa kepada Zerubabel (Zakharia 4:6).
Seperti yang diisytiharkan oleh Zakharia, “Siapakah yang memandang hina hari terjadinya hal-hal yang kecil?” (ayat 10). Orang-orang yang kembali daripada pembuangan bimbang bahawa Bait Tuhan tidak akan setanding dengan binaan semasa pemerintahan Raja Salomo. Tetapi sepertimana perenang Ono berjaya bertanding di Olimpik—memenangi pingat selepas menerima pembetulan kecil—kumpulan jurubina Zerubabel mempelajari bahawa walaupun hal kecil, jika itu ialah usaha yang betul dan disertai oleh pertolongan Tuhan, ia boleh membawa kemenangan yang menggembirakan dan memuliakan-Nya. Dalam Tuhan, kecil menjadi hebat.