Dalam satu perbincangan tentang sebuah buku mengenai Roh Kudus, karya penulisan seorang ahli teologi Jerman yang bernama Jürgen Moltmann, seorang penemu ramah bertanya kepada penulis yang berumur 94 tahun ini: Bagaimanakah anda mengaktifkan Roh Kudus? Bolehkah dengan mengambil pil? Adakah syarikat-syarikat farmasi akan menghantar Roh Kudus?” Moltmann mengangkatkan keningnya yang lebat. Dia menggelengkan kepalanya, tersenyum dan menjawab dalam loghat bahasa Inggerisnya. “Apa yang boleh saya lakukan? Jangan buat apa-apa. Tunggulah Roh Kudus, dan Roh Kudus akan datang.”

Moltmann mendedahkan pemikiran kita yang salah bahawa kekuatan dan kepakaran kita yang membuat sesuatu berlaku. Kisah Para Rasul memperlihatkan bahawa Tuhan yang membuat sesuatu perkara terjadi. Permulaan gereja awal tiada kaitan dengan strategi manusia atau kepimpinan yang hebat. Sebaliknya, Roh Kudus datang “seperti angin kencang menderu” ke dalam sebuah bilik yang penuh dengan murid-murid yang ketakutan, tidak berdaya dan kebingungan (2:2). Kemudian, Roh Kudus menghancurkan semua perbezaan darjat antara etnik dengan mengumpulkan orang-orang yang berbeza untuk menjadi sebuah komuniti yang baharu. Murid-murid Yesus berasa terkejut seperti yang lain apabila melihat apa yang dilakukan Tuhan dalam kalangan mereka. Mereka tidak membuat apa-apa; terjadinya segala perkara yang ajaib adalah “diberikan oleh Roh itu” (ayat 4).

Gereja dan segala tugas penginjilan kita di dunia ini tidak ditentukan oleh apa yang kita boleh buat. Kita bergantung sepenuhnya pada apa yang dilakukan oleh Roh Kudus. Ini membuat kita menjadi berani dan tenang. Pada hari ini—hari yang kita menyambut Pentakosta—semoga kita menantikan Roh Kudus dan memberi respons.