“Saya tahu ayah akan pulang ke rumah kerana dia menghantar bunga kepada saya.” Itulah kata-kata adik perempuan saya yang berumur tujuh tahun kepada ibu kami ketika ayah kami hilang dalam pertempuran pada waktu peperangan. Sebelum ayah pergi melakukan misinya, dia menempah bunga untuk hari jadi adik saya, dan bunga itu tiba semasa ketiadaannya. Tetapi dia betul: Ayah memang pulang ke rumah selepas tempoh pertempuran yang menyeksakan. Selepas beberapa dekad kemudian, adik saya masih menyimpan pasu bunga hari jadinya untuk memperingatkan dirinya agar selalu berpegang pada harapan.

Kadangkala tidak mudah untuk berpegang pada harapan di dunia yang musnah dan berdosa. Bukan semua bapa pulang ke rumah, dan ada kalanya hajat anak-anak tidak tertunai. Namun Tuhan memberi harapan pada waktu yang paling sukar. Dalam masa perang yang lain, nabi Habakuk telah menubuatkan pencerobohan orang Babilonia terhadap Yehuda (Habakuk 1:6; lihat 2 Raja-Raja 24) tetapi dia masih yakin bahawa Tuhan sentiasa baik (Habakuk 1:12-13). Ketika mengingati kebaikan Tuhan terhadap umat-Nya pada masa lalu, Habakuk menyatakan: “Sekalipun pokok ara tidak berbunga dan pokok anggur tidak berbuah, biarpun hasil pokok zaitun mengecewakan dan ladang tidak menghasilkan bahan makanan, sekalipun domba ghaib daripada kurungannya dan tidak ada lembu di dalam kandang, aku akan bersuka ria kerana TUHAN dan bergembira kerana Allah yang menyelamatkan aku” (3:17-18).

Sesetengah pengulas Alkitab percaya bahawa nama Habakuk bermakna “berpegang.” Kita boleh berpegang pada Tuhan sebagai harapan dan sukacita kita walaupun dalam dugaan kerana Dia menopang kita dan tidak akan meninggalkan kita.