Pada 4 November 1966, banjir yang teruk telah melanda Florence di Itali, dan menghanyutkan hasil karya seni terkenal Giorgio Vasari, The Last Supper (Perjamuan Malam Terakhir) di sebuah kolam yang dipenuhi lumpur, air dan minyak bakar selama lebih dua belas jam. Oleh sebab catnya telah menjadi lembik dan bingkai kayunya rosak teruk, ramai percaya bahawa karya tersebut tidak boleh diperbaiki lagi. Walau bagaimanapun, selepas usaha pemuliharaan yang teliti selama lima puluh tahun, para pakar dan sukarelawan telah berjaya mengatasi rintangan yang amat sangat tersebut dan memperbaiki lukisan yang berharga itu.
Semasa orang Babilonia menakluki Israel, umat Israel kehilangan harapan—dikelilingi oleh kematian dan kemusnahan, serta memerlukan pemulihan (lihat Ratapan 1). Semasa tempoh pergolakan ini, Tuhan membawa nabi Yehezkiel ke sebuah lembah dan memberinya satu penglihatan. Dalam penglihatan itu dia dikelilingi oleh tulang-tulang kering. “Bolehkah tulang-tulang ini hidup kembali?” Tuhan bertanya. Yehezkiel menjawab, “hanya Engkaulah yang mengetahui hal itu” (Yehezkiel 37:3). Kemudian Tuhan menyuruhnya bernubuat ke atas tulang-tulang tersebut supaya mereka dapat hidup kembali. “Pada waktu aku bernubuat,” Yehezkiel menceritakan, “terdengarlah suatu bunyi, ya, bunyi derak-derak. Tulang-tulang itu berlekatan satu sama lain” (ayat 7). Melalui penglihatan ini, Tuhan menunjukkan kepada Yehezkiel bahawa pemulihan Israel hanya boleh terjadi melalui-Nya.
Apabila kita berasa seolah-olah hidup kita telah hancur berkecai dan tidak boleh dipulihkan, Tuhan memberi jaminan bahawa Dia akan memulihkan cebisan hidup kita yang telah hancur. Dia akan memberi kita nafas baru dan kehidupan baru.