Keluarga Angela diselubungi kepiluan kerana mengalami tiga kematian dalam masa empat minggu. Selepas menerima berita tentang kematian mengejut anak saudara lelaki mereka, Angela dan kedua-dua adik perempuannya berkumpul di meja dapur selama tiga hari, hanya keluar untuk membeli bekas menyimpan abu mayat, membeli makanan dan menghadiri pengebumian. Dalam keadaan berduka , mereka dihiburkan dengan berita gembira adik perempuan bongsu mereka yang bakal menimang cahaya mata. Mereka melihat gambar-gambar ultrabunyi bayi dengan penuh sukacita.

Tepat pada masanya, Angela menemui ketenangan dan harapan melalui kitab Ezra dalam Perjanjian Lama. Ia menceritakan tentang umat Tuhan kembali ke Yerusalem selepas orang Babilonia memusnahkan Bait Tuhan dan menawan mereka dari kota kesayangan mereka (lihat Ezra 1). Ketika Ezra melihat asas Bait Tuhan diletakkan, dia mendengar umat Tuhan bersorak-sorai dengan gembira sambil memuji Tuhan (3:10-11). Tetapi dia juga mendengar tangisan mereka yang teringat akan kehidupan sebelum pembuangan (ayat 12).

Salah satu ayat Alkitab yang paling menghibur Angela: “Orang tidak dapat membezakan lagi antara bunyi sorak-sorai kegembiraan dengan bunyi tangisan umat, kerana umat bersorak dengan suara nyaring sehingga bunyinya kedengaran sampai di tempat yang jauh” (ayat 13). Dia menyedari bahawa meskipun mereka ditenggelami oleh kesedihan yang dalam, kegembiraan masih wujud.

Kita juga mungkin bersedih atas kematian seseorang yang dikasihi atau berdukacita atas suatu kehilangan. Jika demikian, kita boleh meluahkan rintihan kita bersama dengan saat kita bersorak-sorai kegembiraan kepada Tuhan, mengetahui bahawa Tuhan mendengar kita dan mengumpulkan kita dalam dakapan-Nya.