Pergolakan sosial, bahaya dan ketidakselesaan tidak menghalang Jimmy pergi ke salah sebuah negara termiskin di dunia untuk memberi dorongan kepada para pasangan dalam pelayanan misi. Pesanan ringkas yang kami terima menunjukkan banyak cabaran yang dihadapinya. “Okey, aktifkan talian doa. Kami hanya dapat bergerak sejauh 16 km sejak 2 jam yang lalu … Enjin kereta telah berkali-kali terlampau panas.” Masalah pengangkutan menyebabkan dia hanya sampai beberapa detik sebelum tengah malam untuk berkhutbah kepada jemaah yang telah menunggu selama 5 jam. Kemudian kami menerima teks dengan nada yang berbeza. “Puji Tuhan! Kami ada perjumpaan yang indah … Lebih kurang 12 orang tampil ke hadapan untuk didoakan. Inilah malam yang sangat berhasil!”

Melayani Tuhan dengan setia adalah mencabar. Para teladan iman yang disenaraikan dalam Ibrani 11 pasti bersetuju dengan kenyataan ini. Oleh sebab terdorong oleh iman mereka kepada Tuhan, golongan lelaki dan perempuan yang biasa telah berhadapan dengan pelbagai rintangan dan dugaan. “Setengah-setengahnya pula menghadapi dugaan dengan diejek, dipukul, dirantai dan dipenjarakan” (ayat 36). Iman mendorong mereka mengambil risiko dan berserah kepada Tuhan untuk hasilnya. Begitu juga dengan kita. Iman kita mungkin tidak membawa kita ke tempat yang jauh dan berisiko, tetapi mungkin membawa kita pergi ke seberang jalan, atau di seberang kampus, atau ke tempat duduk kosong di tempat makan, atau bilik mesyuarat. Berisiko? Mungkin. Tetapi hasilnya adalah berbaloi di sebalik risiko yang dihadapi kerana Tuhan akan menolong kita.