Pemidato yang hebat dalam sejarah biasanya ialah pemimpin yang menggunakan suaranya untuk membawa perubahan yang positif. Lihatlah Frederick Douglass, ceramahnya tentang pemansuhan dan kebebasan telah mewujudkan satu gerakan yang menghapuskan sistem perhambaan di Amerika Syarikat. Bagaimana jika dia memilih untuk berdiam diri? Setiap kita mempunyai kebolehan menggunakan suara kita untuk memberi inspirasi dan membantu orang lain, tetapi perasaan takut untuk bersuara boleh melumpuhkan kita. Ketika kita dihantui oleh perasaan takut, datanglah kepada Tuhan, Dialah sumber hikmat dan dorongan kita.
Ketika Tuhan memanggil Yeremia menjadi nabi kepada bangsa-bangsa, dia tidak yakin pada kebolehannya. Dia mengeluh, “Aku tidak tahu bertutur, kerana aku ini masih muda lagi” (Yeremia 1:6). Tetapi Tuhan tidak membenarkan perasaan takut Yeremia menghalang rancangan-Nya untuk menggunakan suaranya bagi memberi inspirasi kepada generasi pada masa itu. Dia memberitahu Yeremia terus percaya kepada Tuhan dengan memperkatakan dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan-Nya (ayat 7). Untuk menguatkan semangat Yeremia, Dia memberi jaminan, “Sesungguhnya, Aku memberitahukan firman-Ku kepadamu” (ayat 9).
Apabila kita meminta Tuhan untuk menunjukkan kita bagaimana Dia mahu memakai kita, Dia akan melengkapkan kita untuk melaksanakan tujuan kita. Dengan pertolongan-Nya, kita boleh menggunakan suara kita dengan berani untuk memberi kesan positif kepada orang di sekeliling kita.