Garaj di rumah zaman kanak-kanak saya menyimpan banyak memori. Pada setiap pagi Sabtu, bapa akan memindahkan kereta keluar dari garaj supaya kami ada ruang untuk bekerja. Projek kegemaran saya ialah membaiki go-kart (kereta lumba bermotor yang kecil, rendah dan ringan dengan kerangka yang terbuka) yang telah dijumpai rosak. Kami memasangkan tayar baru dan cermin depan yang lebih ceria, manakala bapa akan menjaga lalu lintas di jalan raya supaya saya boleh memandu dengan seronok di atas jalan! Mengimbas kembali memori itu, sebenarnya apa yang berlaku di dalam garaj adalah lebih daripada hanya membaiki go-kart. Sebaliknya, seorang budak lelaki sedang dididik oleh ayahnya—dan mendapat gambaran tentang Tuhan dalam proses itu.

Manusia telah dicipta mengikut sifat Tuhan (Kejadian 1:27-28). Sifat keibubapaan manusia juga berasal daripada Tuhan. Dialah “Bapa, yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan” (Efesus 3:14-15). Seperti ibu bapa meniru sifat Tuhan yang memberi kehidupan dengan membawa anak-anak ke dunia, apabila mendidik dan melindungi anak-anak mereka, kualiti yang ditunjukkan bukan berpunca daripada mereka tetapi daripada Bapa. Dialah teladan yang patut diikuti oleh semua ibu bapa.

Bapa saya tidak sempurna. Seperti setiap ibu bapa lain, kadangkala dia gagal mengikuti cara Tuhan. Tetapi bapa saya selalu mencontohi Tuhan, tindakan itu memberi saya gambaran tentang sifat-Nya sebagai pemelihara dan pelindung kita, mahupun sewaktu kami membaiki go-kart di dalam garaj itu.