Di Texas, tempat saya membesar, ada satu sambutan perarakan dan perkelahan untuk komuniti orang berkulit hitam pada setiap 19 Jun. Sehingga saya masuk ke alam remaja, barulah saya faham betapa pentingnya untuk menyambut peristiwa sedih yang dipanggil Juneteenth (gabungan perkataan “June” dan “nineteenth”). Juneteenth merupakan hari untuk memperingati hari pada tahun 1865 apabila para abdi di Texas menyedari bahawa Presiden Abraham Lincoln telah menandatangani Pengisytiharan Pembebasan yang memberi mereka kebebasan—dua tahun setengah sebelum ini. Para abdi di Texas terus hidup dalam perhambaan sepanjang masa itu kerana mereka tidak tahu bahawa mereka telah lama dibebaskan.

Adalah tidak mustahil untuk bebas tetapi masih hidup seperti abdi. Dalam Galatia, Paulus menulis tentang satu jenis perhambaan: hidup di bawah peraturan agama yang ketat. Paulus memberi dorongan kepada pembacanya bahawa “Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula” (Galatia 5:1). Orang yang percaya kepada Yesus telah dibebaskan daripada belenggu peraturan luaran termasuk apa yang boleh dimakan dan siapa yang mereka boleh bergaul. Bagaimanapun, ramai orang masih hidup seolah-olah mereka diperhambakan.

Malangnya, kita boleh melakukan perkara yang sama hari ini. Tetapi realitinya, Yesus sudah membebaskan kita daripada dibelenggu oleh peraturan agama buatan manusia pada saat kita percaya kepada-Nya. Kebebasan telah diisytiharkan. Marilah kita hidup dalam kuasa-Nya.