Seorang lelaki memiliki mata wang digital (bitcoin) yang bernilai lebih daripada 400 juta dolar, tetapi dia tidak dapat mengakses satu sen pun. Dia terlupa kata kunci pada peranti yang menyimpan dana tersebut, dan berada di ambang bencana: selepas 10 kali percubaan, peranti itu akan musnah dengan sendirinya. Rezekinya akan hilang begitu sahaja. Selama sedekad, dia berusaha sedaya upaya untuk mengingati semula kata kunci pada simpanannya itu. Dia mencuba lapan kata kunci tetapi semuanya gagal. Pada tahun 2021, dia mengeluh kerana dia hanya tinggal dua peluang sebelum semuanya lesap.

Kita memang jenis pelupa. Kadang-kadang kita lupa pada perkara kecil (di mana kita meletakkan kunci kereta), dan kadang-kadang lupa pada perkara besar (kata kunci yang boleh membuka jutaan dana). Syukurlah Tuhan tidak seperti kita. Dia tidak pernah lupa tentang benda atau orang yang dikasihi-Nya. Pada kala kesusahan, Israel takut bahawa Tuhan telah melupakan mereka. “TUHAN telah meninggalkan aku. Tuhan telah melupakan aku” (Yesaya 49:14). Yesaya meyakinkan mereka bahawa Tuhan mereka sentiasa ingat. Nabi bertanya, “Dapatkah seorang perempuan melupakan anak yang disusuinya?” Memang pun seorang ibu tidak akan melupakan anak yang disusuinya. Walaupun seorang ibu berbuat sesuatu yang tidak masuk akal, kita tahu bahawa Tuhan tidak akan melupakan kita (ayat 15).

“Lihat,” Tuhan berkata, “Aku telah melukiskan engkau di telapak tangan-Ku” (ayat 16). Tuhan telah mengukir nama kita ke dalam diri-Nya sendiri. Ingatlah bahawa Dia tidak pernah melupakan kita—orang yang dikasihi-Nya.