Shawn Seipler, seorang eksekutif yang sentiasa melakukan perjalanan, bergelut dengan satu soalan yang pelik. Apakah yang berlaku pada sabun terpakai di dalam bilik hotel? Daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah, Seipler percaya bahawa adalah lebih baik jika jutaan sabun terpakai ini diberikan kehidupan baru. Dia pun memulakan projek “Bersihkan Dunia” (Clean The World), iaitu satu usaha kitar semula yang telah membantu lebih daripada 8 ribu buah hotel, kapal pelayaran, dan tempat peranginan untuk mengubah jutaan sabun terpakai itu menjadi buku sabun yang baru. Kemudian sabun-sabun itu akan dihantar kepada orang-orang yang memerlukan di lebih daripada 100 buah negara, sabun kitar semula telah berjaya menghindari ratusan penyakit dan kematian.

Seipler berkata, “Saya tahu bunyinya kelakar, tetapi sabun kecil di bilik air hotel anda benar-benar boleh menyelamatkan nyawa”.

Mengumpul sesuatu yang terpakai atau kotor dan memberikannya kehidupan baru juga merupakan salah satu sifat pengasih Juruselamat kita, Yesus. Selepas Dia memberi makan kepada lima ribu orang dengan lima buku roti barli dan dua ekor ikan, Dia pun berkata kepada para pengikut-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang” (Yohanes 6:12).

Dalam kehidupan kita, apabila kita berasa seperti “dibasuh”, Tuhan tidak melihat kita sebagai tidak berguna tetapi sebagai mukjizat-Nya. Di mata Tuhan, kita mempunyai potensi untuk pekerjaan yang baru dalam kerajaan-Nya. “Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru!” (2 Korintus 5:17). Apakah yang menjadikan kita baru? Yesus dalam diri kita.