Sesuatu yang mustahil telah berlaku apabila angin taufan telah mengubah aliran Sungai Mississippi. Pada bulan Ogos 2021, Taufan Ida telah melanda persisiran Louisiana dan menyebabkan berlakunya “aliran negatif”, iaitu air telah mengalir ke hulu sungai selama beberapa jam.

Pakar menganggarkan bahawa kitaran hayat taufan ini boleh mengembangkan tenaga yang bersamaan dengan 10 ribu bom nuklear! Kuasa yang begitu hebat sehingga boleh mengubah aliran air. Hal ini membantu saya memahami respons orang-orang Israel terhadap “aliran negatif” yang jauh lebih hebat yang direkodkan dalam kitab Keluaran.

Ketika melarikan diri daripada kerajaan Mesir yang telah memperhambakan mereka selama berkurun-kurun, orang-orang Israel sampai ke pinggir Laut Merah. Di depan mereka ialah lautan luas dan di belakang mereka ialah askar-askar Mesir yang lengkap bersenjata. Dalam situasi yang mustahil ini, “TUHAN menguakkan laut dengan angin timur yang keras semalam-malaman itu, sehingga membuat dasar laut untuk menjadi tanah yang kering … Lalu masuklah orang Israel ke tengah laut” (Keluaran 14:21-22). Setelah diselamatkan dengan kuasa yang begitu hebat, “maka takutlah umat itu kepada TUHAN” (ayat 31).

Perasaan kagum ialah respons biasa selepas kita mengalami kebesaran kuasa Tuhan. Tetapi kisah tidak berakhir di situ; orang Israel juga “percaya” kepada-Nya (ayat 31).

Kita juga boleh mengalami kuasa Tuhan dalam penciptaan dan berasa kagum pada kuasa-Nya serta meletakkan kepercayaan kita kepada-Nya.