Setelah Pastor Bob mengalami kecederaan yang menjejaskan suaranya, dia menghadapi krisis dan kemurungan selama 15 tahun. Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang pastor yang tidak boleh berkata-kata? Dia bergelut dengan soalan ini, mencurahkan kesedihan dan kekeliruannya kepada Tuhan. Saat merenungkan hal itu, dia berkata, “Saya hanya tahu satu perkara yang perlu dilakukan—mengejar firman Tuhan”. Ketika dia meluangkan masa untuk membaca Alkitab, kasihnya kepada Tuhan bertambah: “Saya telah mengabdikan hidup saya untuk menyerap dan menyelamkan diri saya dalam Kitab Suci kerana iman datang daripada mendengar firman Tuhan secara berterusan”.

Frasa “iman datang daripada mendengar” terdapat dalam surat rasul Paulus kepada jemaah di Roma. Dia amat berharap agar semua orang Yahudi yang sebangsa dengannya percaya kepada Yesus dan diselamatkan (Roma 10:9). Bagaimanakah mereka boleh percaya? Melalui iman yang “datang daripada mendengar perkhabaran itu … melalui sabda Kristus” (ayat 17).

Pastor Bob mencari untuk menerima dan mempercayai mesej Kristus, terutamanya semasa dia membaca Alkitab. Dia hanya boleh bercakap selama sejam dalam sehari dan mengalami kesakitan semasa berbuat demikian, tetapi dia terus mencari kedamaian dan kepuasan daripada Tuhan melalui pembacaan Alkitab. Kita juga boleh yakin bahawa Yesus akan menonjolkan diri-Nya kepada kita semasa kita menghadapi dugaan. Dia akan menguatkan iman kita ketika kita mendengar mesej-Nya, tidak kira apa pun cabaran kita.