Pada jam 7 malam, Hui-Liang berada di dapur dan sedang makan nasi berlaukkan bebola ikan. Manakala keluarga Chua di unit sebelah juga sedang makan malam dan gelak ketawa serta perbualan mereka menembusi kesunyian pada unit Hui Liang, yang telah hidup keseorangan sejak kematian isterinya. Setelah beberapa tahun, dia sudah biasa hidup berseorangan. Tetapi pada malam tersebut, sebiji mangkuk dan sepasang penyepit yang ada di atas meja telah menusuk hatinya dengan mendalam.
Sebelum dia tidur pada malam itu, Hui-Liang membaca Mazmur 23, iaitu petikan kegemarannya. Ayat yang paling penting bagi dia hanya mengandungi empat suku kata: “Engkau ada bersamaku” (ayat 4). Lebih daripada penjagaan terhadap domba, kehadiran dan perhatian yang diberikan oleh gembala terhadap setiap aspek kehidupan dombanya (ayat 2-5) telah memberikan perasaan damai dalam hati Hui-Liang.
Dengan mengetahui bahawa seseorang bersama dengan kita, adalah sangat membantu terutamanya dalam saat-saat keseorangan. Tuhan berjanji bahawa kasih-Nya akan sentiasa bersama dengan kita (Mazmur 103:17) dan Dia tidak akan meninggalkan kita (Ibrani 13:5). Apabila kita berasa keseorangan dan tidak dipedulikan—sama ada di dapur, dalam bas untuk pulang ke rumah, atau di pasar raya yang sesak—kita tahu bahawa kita sentiasa dalam perhatian Gembala. Kita boleh berkata, “Engkau ada bersamaku”.