Setiap hari Dan perlu menahan pukulan daripada seorang pegawai penjara yang sama. Dia merasakan dorongan yang amat kuat daripada Yesus untuk mengasihi orang ini. Jadi, suatu pagi sebelum dia mula dipukul, Dan berkata, “Tuan, jika setiap hari saya perlu berhadapan dengan tuan seumur hidup saya, marilah kita berkawan”. Pegawai itu berkata, “Tidak. Kita tidak akan menjadi kawan.” Dan terus menegaskan cadangan ini dan menghulurkan tangannya.

Pegawai itu menjadi kaku, terkejut. Dia mula bergegar, kemudian memegang tangan Dan dan tidak melepaskannya. Air mata mengalir ke mukanya. Dia berkata, “Dan, nama saya Rosoc. Saya sudi menjadi kawan kamu.” Sejak hari itu, pegawai tersebut tidak pernah memukul Dan lagi.

Alkitab memberitahu kita, “Jika musuhmu lapar, berilah dia makan, dan jika dia dahaga, berilah dia minum, kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya, dan TUHAN pun akan memberimu pahala” (Amsal 25:21-22). Perumpamaan “bara api” menggambarkan upacara Mesir kuno, bahawa seorang yang bersalah akan mengangkat semangkuk bara api di atas kepalanya sebagai tanda bertaubat. Kebaikan kita juga boleh menjadikan musuh kita malu dengan muka merah padam, yang boleh membawa mereka bertaubat.

Siapakah musuh anda? Siapakah yang anda tidak suka? Dan mendapati bahawa kebaikan Yesus sudah cukup kuat untuk mengubah hati sesiapa—musuhnya dan dia sendiri. Demikian juga dengan kita.