Pada akhir 1700-an, seorang lelaki muda menjumpai satu bekas lubang misteri di Pulau Oak, Nova Scotia. Mereka meneka mungkin ada lanun, bahkan Kapten Kidd sendiri telah menimbus harta di situ. Lalu dia dan beberapa rakan mula menggali. Namun mereka tidak menjumpai apa-apa harta. Selama berkurun-kurun, orang masih menggali di kawasan itu, sehingga menghabiskan banyak masa dan kos. Kedalaman lubang yang telah digali itu sekarang telah melebihi 100 kaki (30 meter).

Obsesi terhadap harta ini menunjukkan kekosongan yang ada dalam jiwa manusia. Ada satu kisah dalam Alkitab tentang seorang lelaki yang mendedahkan kekosongan dalam hatinya. Gehazi merupakan seorang yang telah lama menjadi hamba nabi Elisa yang boleh dipercayai. Tetapi apabila nabi Elisa menolak tawaran hadiah lumayan daripada seorang komander askar yang telah disembuhkan oleh Tuhan daripada penyakit kusta, Gehazi mereka-reka cerita untuk cuba mendapatkan sebahagian hadiah tersebut (2 Raja-Raja 5:22). Apabila Gehazi pulang ke rumah, dia menipu nabi Elisa (ayat 25). Tetapi Elisa tahu lalu bertanya, “Bukankah hatiku ada bersama-samamu ketika orang itu berpaling dari atas ratanya untuk menyambut engkau?” (ayat 26). Akhirnya, Gehazi mendapat apa yang dia mahu tetapi kehilangan apa yang lebih penting (ayat 27).

Yesus mengajar kita agar tidak mengejar harta dunia tetapi “kumpulkan harta di syurga” (Matius 6:20).

Berhati-hati dengan jalan pintas untuk mencapai kemahuan hati. Mengikut Yesus ialah satu-satunya jalan untuk mengisi kekosongan dengan sesuatu yang lebih benar.