Sotong kurita mimik digelar sebagai “tuan menyamar” dan hidup di perairan Indonesia dan di Terumbu Sawar Besar. Seperti spesies sotong kurita yang lain, makhluk ini dapat mengubah pigmen kulitnya menyerupai persekitarannya. Haiwan yang cerdik ini juga akan mengubah bentuk, corak pergerakan dan perlakuannya apabila terancam untuk memimikkan haiwan lain seperti ikan singa bahkan ular laut yang berbisa.
Bertentangan dengan sifat sotong kurita mimik, orang yang percaya kepada Yesus dikehendaki untuk menonjolkan diri dalam dunia di sekeliling kita. Kita mungkin akan berasa terancam oleh orang yang tidak sefahaman dengan kita dan tergoda untuk bersebati dengan mereka supaya kita tidak dikenali sebagai pengikut-pengikut Kristus. Namun, rasul Paulus menggesa kita mempersembahkan tubuh kita sebagai “korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah” (Roma 12:1), dengan mewakili Yesus dalam setiap aspek kehidupan kita.
Rakan-rakan atau ahli-ahli keluarga mungkin akan mendesak kita mengikut “cara dunia” (ayat 2). Akan tetapi, kita dapat menunjukkan siapa yang kita layani dengan menyelaraskan kehidupan kita dengan apa yang kita percaya sebagai anak-anak Tuhan. Apabila kita mentaati firman Tuhan dan mencerminkan sifat Tuhan yang penuh kasih, hidup kita dapat membuktikan bahawa ganjaran ketaatan kepada Tuhan sentiasa melebihi segala kerugian. Bagaimanakah anda akan meneladani Yesus pada hari ini?