Pada tahun 1982, pastor Christian Führer memulakan perhimpunan doa hari Isnin di Gereja Santo Nicholas, Leipzig. Selama bertahun-tahun, beberapa orang berkumpul dan berdoa kepada Tuhan untuk keamanan di tengah-tengah krisis keganasan global dan penindasan rejim Jerman Timur. Walaupun pihak berkuasa komunis memantau aktiviti gereja dengan rapi, mereka tidak mengambil peduli sehinggalah jumlah kehadiran meningkat dan perjumpaan besar-besaran diadakan sehingga jumlah mereka melimpah ke luar pintu gerbang gereja. Pada 9 Oktober 1989, seramai tujuh puluh ribu orang penunjuk perasaan telah berkumpul untuk mengadakan bantahan secara aman. Enam ribu orang polis Jerman Timur berdiri siap sedia untuk bertindak balas kepada sebarang provokasi. Namun begitu, para penunjuk perasaan tetap aman dan ahli-ahli sejarah menganggap hari tersebut sebagai titik perubahan dalam sejarah. Satu bulan kemudian, Tembok Berlin dirobohkan. Perubahan besar-besaran ini semuanya bermula daripada satu perhimpunan doa.
Apabila kita datang kepada Tuhan dan mula bergantung pada hikmat dan kekuatan-Nya, segalanya akan turut berubah dan berbeza. Seperti Israel, apabila kita berseru “kepada TUHAN dalam kesusahan kita,” kita mendapati bahawa hanya Tuhan yang mampu mengubah keazaban kita yang parah dan menjawab soalan-soalan kita yang merunsingkan (Mazmur 107:28). Tuhan “menenangkan ribut” dan mengubah “gurun menjadi kolam-kolam air” (ayat 29, 35). Tuhan yang kepada-Nya kita panjatkan doa dapat mengubah putus asa kepada harapan dan kehancuran kepada keindahan.
Namun begitu, Tuhanlah yang (menurut waktu-Nya—bukan waktu kita) memperkenankan perubahan. Melalui doa, kita mengambil bahagian dalam karya perubahan yang dilakukan oleh Tuhan.