“Aku berasa begitu tidak berguna,” kata Harold. “Aku kematian isteri dan sudah bersara, anak-anak pula sibuk dengan keluarga masing-masing. Waktu petangku sungguh sunyi dan aku hanya meluangkan masa dengan menonton bayang-bayang pada dinding.” Dia sering memberitahu anak perempuannya, “Aku sudah tua dan puasa dengan kehidupan ini. Aku tidak ada sebarang tujuan hidup lagi. Tuhan boleh menjemput aku kepada-Nya pada bila-bila masa.”
Namun pada suatu hari, satu perbualan telah mengubah fikiran Harold. “Jiranku menghadapi masalah dengan anak-anaknya, jadi aku berdoa untuk dia,” kata Harold. “Kemudian, aku berkongsi Injil kepadanya. Begitulah aku menyedari aku masih ada tujuan! Selagi ada orang yang belum mendengar tentang Yesus, aku mesti memberitahu mereka tentang Penyelamat kita.”
Apabila Harold menjalani kehidupan sehariannya yang biasa dengan berkongsi imannya, kehidupan jirannya berubah. Dalam 2 Timotius 1, rasul Paulus menyebut dua orang wanita yang juga telah dipakai oleh Tuhan untuk mengubah kehidupan orang lain: kehidupan rakan muda sekerja Paulus, iaitu Timotius. Nenek Timotius, Lois dan ibunya Eunike mempunyai “iman yang tulus ikhlas” yang diwariskan mereka kepada Timotius (ayat 5). Melalui peristiwa-peristiwa seharian dalam rumah tangga yang biasa, Timotius sejak muda telah mempelajari iman sejati yang seterusnya membentuk pertumbuhannya sebagai seorang murid Yesus yang setia dan kemudian melayani sebagai pemimpin jemaah di Efesus.
Tanpa mengira umur, latar belakang, atau keadaan kita, kita masing-masing mempunyai tujuan hidup—memberitahu orang lain tentang Yesus.