Surat daripada “Jason”, iaitu seorang banduan, mengejutkan saya dan isteri saya. Kami berdua memelihara anak-anak anjing untuk dilatih menjadi anjing khidmat yang membantu orang kurang upaya. Salah seekor anak anjing telah beralih ke fasa latihan seterusnya, yang dikendalikan oleh banduan-banduan yang sudah diajar bagaimana melatih anjing. Surat Jason meluahkan rasa dukacitanya tentang masa silamnya, tetapi kemudian dia berkata, “Snickers merupakan anjing ketujuh belas yang telah saya latih, dan inilah anjing yang terbaik. Apabila saya melihat Snickers mengangkat kepala dan memandang saya, saya berasa akhirnya saya melakukan sesuatu yang betul.”

Bukan hanya Jason yang ada penyesalan. Begitu juga dengan kita. Raja Yehuda, iaitu Manasye, mempunyai banyak penyesalan. 2 Tawarikh 33 mengisahkan sedikit sebanyak kekejian Manasye: membina mazbah lucah bagi dewa-dewa kafir (ayat 3), mengamalkan ilmu sihir, dan mempersembahkan anak-anaknya sendiri sebagai korban bakar (ayat 6). Dia menyesatkan seluruh bangsanya (ayat 9).

“TUHAN berfirman kepada Manasye dan kepada rakyatnya, tetapi mereka tidak mahu mendengar” (ayat 10). Akhirnya Tuhan membenarkan orang Asyur datang menyerang, lalu “membelenggunya dengan rantai gangsa, dan membawanya ke Babel” (ayat 11). Selepas itu, barulah Manasye melakukan sesuatu yang betul. “Dia memohon belas kasihan TUHAN, Allahnya. Dia sangat merendahkan diri di hadapan Allah” (ayat 12). Tuhan mendengar permohonan Manasye dan memulihkan kedudukannya sebagai raja. Manasye menggantikan amalan-amalan kafir dengan penyembahan satu-satunya Tuhan yang benar (ayat 15-16).

Adakah penyesalan anda mengancam untuk menelan diri anda? Belum lagi terlambat. Tuhan akan sentiasa mendengar doa pertaubatan kita yang rendah hati.