Ketua pegawai eksekutif sebuah francais makanan beku telah menyamar sebagai juruwang dalam siri televisyen Undercover Boss. Dia bekerja di salah sebuah kedai francaisnya dengan mengenakan rambut palsu dan solekan untuk menyamarkan identitinya sebagai kakitangan “baharu”. Tujuan dia turun padang adalah untuk meninjau selok-belok pentadbiran dan pengurusan kedai itu. Berdasarkan pemerhatiannya, dia dapat menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh kedai tersebut.
Yesus telah “mengambil bentuk seorang hamba” (Filipi 2:7) untuk menyelesaikan masalah kita. Dia mengambil rupa manusia—menjalani hidup di muka bumi ini, mengajar kita tentang Tuhan dan akhirnya mati pada kayu salib untuk dosa-dosa kita (ayat 8). Pengorbanan ini memperlihatkan Kristus yang rendah diri kerana Dia dengan taat telah menyerahkan hidup-Nya sebagai korban penghapus dosa kita. Yesus menjalani hidup di bumi ini sebagai manusia dan mengalami apa yang kita alami—Dia turun padang.
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita diseru hendaklah memiliki sikap “seperti sikap” Penyelamat kita, terutamanya dalam hubungan kita dengan orang percaya yang lain (ayat 5, TMV). Tuhan menolong kita merendah diri (ayat 3) dan memupuk pemikiran Kristus (ayat 5). Tuhan menggesa kita hidup sebagai hamba yang sedia memenuhi keperluan orang lain dan rela menghulurkan bantuan. Apabila Tuhan membimbing kita mengasihi orang lain dengan merendah diri, kita akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk melayani mereka dan menangani isu-isu yang dihadapi oleh mereka dengan penuh belas kasihan.