Pada Jun 1965, enam orang remaja Tonga telah berlayar dari pulau kediaman mereka untuk berkembara. Namun, apabila ribut memecahkan tiang layar dan kemudi kapal mereka pada malam pertama, mereka hanyut di laut selama berhari-hari tanpa makanan dan air sebelum tiba di Pulau ‘Ata yang tidak berpenghuni. Mereka hanya ditemukan orang semula selepas lima belas bulan.

Remaja-remaja tersebut berusaha bersama di Pulau ‘Ata untuk terus hidup, dengan mengerjakan sebuah taman makanan yang kecil, menebuk batang pokok untuk menadah air hujan, malah membina sebuah gim sementara. Apabila seorang remaja lelaki mengalami patah kaki akibat terjatuh dari sebuah cenuram, yang lain membetulkan tulang kakinya dengan menggunakan ranting kayu dan daun. Mereka menetapkan peraturan bahawa segala pertengkaran antara mereka harus didamaikan, dan setiap hari dimulakan dan diakhiri dengan nyanyian serta doa. Apabila remaja-remaja tersebut diselamatkan daripada pengalaman getir mereka dalam keadaan yang sihat, keluarga mereka berasa kagum—sebenarnya upacara pengebumian mereka telah pun dilangsungkan.

Orang yang percaya kepada Yesus pada abad pertama mungkin mengalami pengasingan. Ditindas atas sebab iman dan sering kali dipulaukan oleh keluarga, seseorang mungkin berasa dirinya hanyut di laut. Dorongan rasul Petrus kepada yang hanyut adalah agar kita kekal berdisiplin dan tekun berdoa (1 Petrus 4:7), menjaga satu sama lain (ayat 8), dan menggunakan setiap kurnia yang dimiliki seseorang untuk menyempurnakan pekerjaan mereka (ayat 10-11). Tepat pada waktunya, Tuhan akan menolong mereka mengharungi pengalaman getir mereka dengan “menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan” mereka (5:10).

Sewaktu menghadapi cubaan hidup, “iman yang tekun” diperlukan. Kita berdoa dan bekerja dengan bersatu hati, Tuhan pasti akan menolong kita untuk menempuhinya.