Apabila rampasan kuasa berlaku di negara Tun, pihak tentera mula menggentarkan orang yang percaya kepada Yesus dan membunuh haiwan ternakan mereka. Setelah kehilangan sumber mata pencarian mereka, kaum keluarga Tun berselerak ke beberapa buah negara. Selama sembilan tahun, Tun hidup di sebuah kem pelarian yang jauh daripada keluarganya. Tun tahu bahawa Tuhan ada bersamanya, tetapi dalam tempoh perpisahan itu, dua orang anggota keluarganya telah meninggal dunia. Tun berputus harapan.
Pada masa lalu, satu bangsa yang lain juga menghadapi penindasan yang kejam. Oleh hal yang demikian, Tuhan melantik Musa untuk membawa kumpulan tersebut—orang Israel—keluar dari Mesir. Musa dengan berat hati bersetuju untuk berbuat demikian. Tetapi apabila Musa cuba menghadap Firaun, pemerintah Mesir tersebut bertambah lagi penindasan ke atas orang Israel (Keluaran 5:6-9). “Aku tidak kenal akan TUHAN itu dan aku tidak mengizinkan orang Israel pergi,” kata Firaun (ayat 2). Orang Israel mengadu kepada Musa, dan Musa mengadu kepada Tuhan (ayat 20-23).
Akhirnya, Tuhan membebaskan orang Israel—tetapi menurut cara dan masa Tuhan. Tuhan membuat rancangan jangka panjang untuk mengajar kita tentang sifat-Nya dan mempersiapkan kita untuk sesuatu yang lebih hebat.
Tun telah memanfaatkan tahun-tahunnya di kem pelarian dengan memperoleh ijazah sarjana dari sebuah seminari di New Delhi. Kini, Tun menjadi pastor bagi kaumnya—kumpulan pelarian seperti dia yang telah menemukan tempat tinggal yang baharu. “Dugaan hidup saya sebagai pelarian telah menjadi wadah untuk memimpin sebagai hamba,” kata Tun. Dalam kesaksiannya, Tun memetik lagu Musa dalam Keluaran 15:2: “TUHAN itu kekuatanku dan puji-pujianku, Dia menjadi penyelamatanku.” Pada hari ini, Tuhan juga melakukan hal yang sama bagi kita.