Pada tahun 2009, pasukan penyelidik di Universiti Stanford telah melibatkan lebih daripada dua ratus orang pelajar dalam sebuah eksperimen yang membabitkan latihan melakukan pelbagai tugasan secara sekali gus dan latihan daya ingatan. Apa yang mengejutkan, kajian tersebut mendapati bahawa pelajar yang menganggap diri mereka cekap kerana biasa melakukan pelbagai tugas pada satu masa yang sama mempunyai prestasi yang lebih teruk, berbanding dengan pelajar yang suka melakukan hanya satu tugas pada satu masa. Melakukan pelbagai tugasan menjadikan mereka lebih sukar untuk memfokuskan fikiran dan menapis informasi yang tidak berkenaan. Mengekalkan fokus semasa fikiran terganggu adalah amat mencabar.
Ketika Yesus melawat rumah Maria dan Marta, Marta sibuk melayani mereka dan “membuat semua kerja” (Lukas 10:40). Adiknya iaitu Maria duduk dekat Yesus dan mendengarkan Yesus menyampaikan pengajaran, memperoleh hikmat dan kedamaian yang tidak akan direbut daripadanya (ayat 39-42). Apabila Marta meminta Yesus untuk menyuruh Maria membantunya, Dia berkata, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya (ayat 41-42).
Tuhan ingin perhatian kita. Tetapi, seperti Marta, perhatian kita sering diganggu oleh tugasan dan masalah. Kita tidak mengendahkan hadirat Tuhan meskipun hanya Dia yang dapat memberikan hikmat dan harapan yang kita perlukan. Apabila kita meluangkan masa dengan-Nya melalui doa dan mengutamakan firman Tuhan, Dia akan memimpin kita dan memberikan kekuatan yang kita perlukan untuk menghadapi cabaran.