Phil dan Sandy yang terharu dengan kisah pelarian kanak-kanak telah membuka hati dan rumah mereka kepada dua orang kanak-kanak pelarian. Selepas mereka menyambut kanak-kanak itu di lapangan terbang, mereka dengan gementar membawa kanak-kanak tersebut ke rumah dengan senyap. Adakah mereka telah bersedia untuk ini? Mereka tidak berkongsi budaya yang sama, bahasa atau agama, tetapi rumah mereka telah menjadi tempat pelarian bagi kanak-kanak yang berharga ini.

Boas terharu oleh kisah Rut. Dia mendengar bagaimana Rut meninggalkan sukunya untuk memberikan sokongan kepada Naomi, dan apabila Rut datang untuk mengutip bulir barli, Boas mendoakan berkat kepadanya, “Semoga Tuhan membalas jasa baikmu dan semoga kepadamu pahala sepenuhnya dianugerahkan Tuhan, Allah Israel, yang di bawah sayap-Nya kamu datang berlindung” (Rut 2:12).

Rut mengingatkan Boas tentang doa berkatnya ketika dia mengganggu Boas yang sedang tidur pada suatu malam. Disebabkan pergerakan di kakinya, Boas yang terkejut pun berkata, “Siapakah kamu?” tanya Boas. “Saya Rut, tuan,” jawabnya. “Sudilah tuan mengembangkan jubah untuk melindungi saya … Oleh sebab tuan saudara dekat kami” (3:9, TMV)

Perkataan Ibrani untuk jubah dan sayap adalah sama. Boas memberikan Rut tempat perlindungan dengan mengahwininya, dan cicit mereka Daud menceritakan kisah mereka dalam pujian Daud kepada Tuhan Israel: “Betapa berharganya kasih setia-Mu, ya Allah! Oleh itu, anak manusia berlindung di bawah bayangan sayap-Mu” (Mazmur 36:7).