“Hai, Poh Fang!” Seorang kawan gereja menghantar mesej kepada saya. “Untuk pertemuan kelompok sel bulan ini, mari kita lakukan apa yang dituliskan dalam Yakobus 5:16. Mari kita wujudkan suasana yang selamat untuk saling berkongsi tentang pergelutan dalam hidup kita serta mendoakan satu sama lain.”

Buat seketika, saya tidak tahu bagaimana untuk membalasnya. Walaupun jumlah ahli kumpulan kami kecil dan sudah saling mengenali selama bertahun-tahun, kami tidak pernah berkongsi secara terbuka tentang pergelutan dan kepedihan yang telah kami lalui. Lagipun, ia amat menakutkan untuk berada dalam keadaan yang terlalu terbuka.

Tetapi sebenarnya, setiap kita adalah orang berdosa dan semua sedang bergelut. Kita memerlukan Yesus. Perkongsian yang tulus tentang anugerah Tuhan yang ajaib dan kebergantungan kita kepada Kristus dapat mendorong kita untuk terus percaya kepada-Nya. Dengan Yesus, kita dapat berhenti daripada berpura-pura menjalani kehidupan yang tiada masalah.

Maka saya menjawab, “Baiklah, mari kita lakukannya!” Pada mulanya kami rasa agak kekok. Tetapi apabila ada seorang yang membuka hati dan berkongsi, yang lain telah menyusul. Meskipun ada beberapa orang yang berdiam sahaja, ada kesefahaman yang dirasakan. Tidak ada seorang pun yang berasa tertekan. Kami mengakhiri masa itu dengan bahagian kedua dalam Yakobus 5:16, iaitu, “mendoakan satu sama lain.”

Pada hari itu saya mengalami keindahan persekutuan bersama dengan orang-orang yang percaya kepada Yesus. Disebabkan oleh kita memiliki iman yang sama dalam Yesus, kita menjadi mudah terbuka kepada satu sama lain serta bergantung pada-Nya, dan orang lain juga dapat membantu kita ketika kita mengalami kelemahan dan pergelutan dalam hidup.