Mungkin tradisi yang paling menyentuh hati dalam bola sepak Amerika telah berlaku di Universiti Iowa. Hospital Kanak-Kanak Keluarga Stead terletak bersebelahan dengan Stadium Kinnick di Iowa, dan tingkat paling atas hospital tersebut mempunyai tingkap dari lantai ke siling yang memberikan pemandangan yang sangat hebat menghala ke padang. Pada hari permainan, kanak-kanak yang sakit dan para ahli keluarga mereka akan memenuhi ruang tingkat itu untuk menonton pertandingan yang berlangsung di tingkat bawah, dan pada penghujung suku pertama, para jurulatih, atlet dan beribu-ribu peminat berpaling ke hospital dan melambai-lambai ke arah hospital. Untuk beberapa detik, mata para kanak-kanak bersinar dengan gembira. Dengan stadium yang penuh sesak disertai ribuan penonton TV, ini amat luar biasa ketika menyaksikan para atlet berhenti seketika untuk menunjukkan kepedulian mereka terhadap kanak-kanak tersebut.

Kitab Suci memberi perintah kepada orang yang berkuasa (dan setiap kita pasti juga memiliki “kuasa” tertentu) untuk mengambil berat terhadap orang-orang yang lemah, memberikan perhatian kepada orang-orang yang sedang berjuang untuk hidup, dan merawat orang-orang yang sakit tenat. Sebenarnya kita kerap mengabaikan orang-orang yang memerlukan perhatian (Yehezkiel 34:6). Nabi Yehezkiel menegur para pemimpin Israel yang bersikap mementingkan diri, kerana mereka mengetepikan orang-orang yang paling memerlukan bantuan. “Malangnya para gembala Israel,” Tuhan berfirman melalui Yehezkiel. “Yang lemah tidak kamu kuatkan, yang sakit tidak kamu ubati, yang luka tidak kamu balut” (ayat 2, 4).

Berapa kerap keutamaan peribadi, falsafah kepimpinan, atau polisi ekonomi menunjukkan bahawa kita kurang prihatin terhadap orang-orang yang berada dalam kesempitan? Tuhan menunjukkan kepada kita jalan yang berbeza, iaitu orang yang kuat menjaga orang yang lemah (ayat 11-12).