Pada tahun 1917, seorang tukang jahit yang masih muda bernama Ann Lowe Cone, berasa sangat gembira kerana diterima di salah sebuah sekolah rekaan fesyen terkenal di Kota New York. Namun, ketika dia tiba dari Florida untuk mendaftar kelas tersebut, pengarah sekolah itu mengatakan dia tidak dialu-alukan. “Saya harus terus terang, cik Cone, kami tidak tahu bahawa anda adalah orang kulit hitam,” katanya. Dia enggan pergi, dan membisikkan doa ini: Tolong biarkan aku tinggal di sini. Melihat kegigihannya, pengarah itu menerima kemasukan Ann ke sekolah itu, tetapi mengasingkannya dari kelas yang dikhaskan untuk orang kulit putih dengan pintu belakang terbuka, “agar [dia] dapat mendengar” apa yang diajar.
Bakat Ann tidak dapat dinafikan. Ini terbukti apabila dia lulus enam bulan lebih awal dan telah menarik minat pelanggan daripada masyarakat kelas atasan termasuklah bekas ibu negara Amerika Syarikat, iaitu Jacqueline Kennedy, yang mengenakan gaun pengantin rekaannya yang terkenal di dunia. Sebenarnya dia membuat gaun itu sebanyak dua kali kerana yang pertama rosak disebabkan sebatang paip pecah di atas studio jahitannya. Selepas meminta pertolongan Tuhan, dia berjaya membuat gaun itu semula.
Kegigihan sedemikian memiliki kuasa terutamanya apabila disertai dengan doa. Yesus menceritakan perumpamaan tentang kecekalan seorang janda yang terus-menerus menuntut keadilan daripada seorang hakim yang tidak berakhlak. Pada mulanya hakim itu menolak, tetapi “disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!” (Lukas 18:5).
Dengan kasih yang jauh lebih besar, “tidakkah Allah akan membela umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam?” (ayat 7). Dia akan melaksanakannya, kata Yesus (ayat 8). Marilah kita tetap berdoa dan tidak sekali-kali berputus asa kerana pertolongan-Nya. Pada masa-Nya dan dengan cara-Nya yang sempurna, Tuhan pasti akan menjawab.