Persaingan pada era internet semakin sengit. Semakin banyak syarikat mencipta cara yang lebih kreatif untuk menarik pelanggan. Sebagai contoh, pemilik kereta Subaru terkenal dengan kesetiaan, jadi syarikat itu menjemput “peminat super Subaru” untuk menjadi “duta jenama” bagi kenderaan tersebut.

Laman web syarikat itu mengatakan, “Duta Subaru terdiri daripada sekumpulan eksklusif individu yang bersemangat, secara sukarela menyalurkan semangat serta minat mereka untuk membantu menyebarkan tentang Subaru dan membentuk masa depan jenama Subaru.” Syarikat ingin Subaru menjadi sebahagian identiti seseorang atau sesuatu yang menjadi semangat mereka sehingga mereka harus mengongsinya.

Dalam 2 Korintus 5, Paulus menjelaskan tentang sebuah program “duta” yang berbeza, iaitu pelawaan untuk mengikut Yesus. “Kami tahu apa yang dimaksudkan dengan takut kepada Tuhan. Oleh itu, kami berusaha meyakinkan orang” (ayat 11). Kemudian Paulus menambah, “Dalam Kristus, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkan-Nya kepada kami. Kami ialah para duta Kristus. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, demi Kristus, kami merayu anda bagi pihak Kristus: Berdamailah semula dengan Allah!” (ayat 19-20).

Banyak produk yang menjanjikan dapat memenuhi kehendak yang paling dalam, memberikan kita rasa kegembiraan, kepuasan dan tujuan hidup. Tetapi hanya satu mesej—mesej perdamaian yang dipercayakan kepada kita sebagai orang yang percaya kepada Yesus—merupakan berita baik yang sejati. Kita memiliki keistimewaan untuk menyampaikan mesej tersebut kepada dunia yang amat memerlukan.