Dalam puisi Henry Wadsworth Longfellow (1807-1882) yang bertajuk “Para Saksi”, dia menggambarkan sebuah kapal hamba abdi yang tenggelam. Semasa Longfellow menulis tentang “tengkorak yang dirantai”, dia meratapi mangsa perhambaan yang tidak terhitung banyaknya dan tidak bernama itu. Rangkap penutup puisi itu berbunyi, “Inilah duka lara hamba abdi; / Mereka merenung dari jurang yang amat dalam; / Mereka meratap dari kuburan yang tidak diketahui, / Kamilah para saksinya!”
Tetapi kepada siapakah para saksi ini bercakap? Bukankah kesaksian yang senyap itu sia-sia?
Sebenarnya ada Saksi yang melihat segala-galanya. Ketika Kain membunuh Habel, dia berpura-pura tidak tahu apa yang berlaku. “Adakah aku ini penjaga adikku?” katanya acuh tak acuh kepada Tuhan. Tetapi Tuhan berkata, “Apakah yang telah kamu lakukan? Dari bumi itu, darah adikmu itu berseru-seru kepada-Ku! Sekarang, terkutuklah kamu, terbuang jauh dari tanah yang telah membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu yang ditumpahkan tanganmu” (Kejadian 4:9-11).
Nama Kain kekal sebagai satu amaran. “Janganlah kita bertindak seperti Kain yang asalnya daripada Iblis dan membunuh adiknya sendiri,” Yohanes Pambaptis memberikan peringatan ini (1 Yohanes 3:12). Nama Habel juga kekal diingatkan, tetapi dengan cara yang berbeza serta dramatik. “Melalui iman Habel telah mempersembahkan kepada Allah korban yang lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh Kain,” kata penulis Ibrani. “Oleh itu setelah Habel mati pun, dia masih berkata-kata” (Ibrani 11:4).
Habel masih berkata-kata! Begitu juga tulang-tulang hamba abdi yang telah lama dilupakan itu. Kita patut mengingati semua mangsa sedemikian, dan menentang penindasan di mana sahaja kita melihatnya. Tuhan melihat segala-galanya. Keadilan-Nya akan tetap memang.