Tiada orang yang hampir meninggal dunia akan berkata, “Saya amat gembira kerana saya hidup untuk diri sendiri, bekerja untuk diri sendiri, dan melindungi diri sendiri,” kata Parker Palmer, iaitu seorang penulis, ketika dia memulakan ucapannya untuk mendorong para graduan “menawarkan [diri mereka] kepada dunia … dengan kemurahan hati yang terbuka.”
Parker meneruskan ucapannya dengan mengatakan bahawa hidup dengan cara ini juga bererti belajar “betapa sedikitnya anda tahu dan betapa mudahnya untuk gagal”. Menawarkan diri mereka untuk bekerja bagi dunia memerlukan mereka memupuk “minda seorang pemula” untuk “berjalan terus ke dalam sesuatu bidang yang tidak anda tahu, dan mengambil risiko untuk gagal dan terus gagal lagi—kemudian bangkit untuk belajar dan terus belajar.”
Hanya apabila hidup kita dibina di atas dasar rahmat, barulah kita dapat menemukan semangat untuk memilih hidup yang tanpa rasa takut, dan memperoleh “kemurahan hati yang terbuka”. Seperti yang dijelaskan Paulus kepada anak didiknya Timotius, dengan yakin kita dapat “menggerakkan kurnia Allah” (2 Timotius 1:6) dan menghidupi kurnia pemberian Tuhan apabila kita ingat bahawa anugerah Tuhan yang menyelamatkan kita dan memanggil kita menjalani hidup yang penuh tujuan (ayat 9). Kuasa-Nya memberi kita semangat untuk melawan godaan yang hidup dalam ketakutan, malah menggantikan semua itu dengan “kuasa, kasih dan tatatertib” Roh Kudus (ayat 7). Anugerah-Nya mengangkat kita ketika kita jatuh, supaya kita dapat meneruskan perjalanan hidup untuk mempunyai dasar hidup yang kukuh dalam kasih-Nya (ayat 13-14).