Apabila perintah yang mewajibkan penggunaan pelitup muka semasa pandemik dilonggarkan, saya selalu terlupa untuk membawa pelitup muka kalau-kalau ada keperluan—seperti pergi ke sekolah anak perempuan saya. Pada suatu hari apabila saya memerlukan pelitup muka, saya mendapati saya hanya tinggal satu di dalam kereta saya, iaitu pelitup muka yang saya enggan gunakan kerana di hadapannya tertulis “BERKAT”.

Saya lebih suka memakai pelitup muka tanpa mesej dan saya berpendapat bahawa perkataan “BERKAT” pada pelitup muka tersebut telah digunakan secara berlebihan. Bagaimanapun, oleh sebab saya tidak mempunyai pilihan lain, maka saya terpaksa memakai pelitup muka itu. Apabila saya hampir menunjukkan kejengkelan saya terhadap penyambut tetamu yang baharu sahaja bertugas di sekolah, saya menahan diri kerana perkataan pada pelitup muka saya. Saya tidak mahu kelihatan seperti seorang yang hipokrit, kerana berjalan di sekitar sekolah dengan tulisan BERKAT pada pelitup muka tetapi pada masa yang sama kehilangan kesabaran kepada seseorang yang sedang berusaha untuk menangani suatu sistem yang rumit.

Walaupun tulisan pada pelitup muka mengingatkan saya tentang kesaksian saya bagi Kristus, kata-kata Alkitab di dalam hati saya yang sepatutnya menjadi peringatan sebenar untuk saya bersabar terhadap orang lain. Sebagaimana yang ditulis oleh Paulus kepada jemaah di Korintus, “Kamu adalah surat kiriman Kristus … ditulis bukan dengan dakwat, tetapi dengan Roh daripada Allah yang hidup; bukan pada loh batu tetapi pada loh daging iaitu hati manusia” (2 Korintus 3:3). Roh Kudus yang “membawa kehidupan” (ayat 6), boleh membantu kita menjalani hidup yang penuh “kasih, sukacita, damai sejahtera” dan ya, “kesabaran” (Galatia 5:22). Kita betul-betul diberkati oleh hadirat-Nya dalam diri kita!