Kevin Ford bekerja di sebuah restoran makanan segera dan tidak pernah ponteng kerja selama dua puluh tujuh tahun. Selepas munculnya satu video yang memaparkan sikap rendah hati Kevin yang penuh kesyukuran atas hadiah sederhana yang diterimanya sempena acara meraikan perkhidmatannya yang berdekad-dekad lamanya, beribu-ribu orang telah bersepakat untuk menunjukkan belas ihsan kepadanya. “Ia seperti mimpi. Satu mimpi yang menjadi kenyataan,” katanya apabila dana sebanyak $250,000 telah berjaya dikumpulkan untuk dia hanya dalam masa seminggu lebih.

Yoyakhin, raja buangan Yehuda, juga menerima belas ihsan yang berkelimpahan. Dia telah dipenjarakan selama tiga puluh tujuh tahun sebelum raja Babel membebaskannya dengan bermurah hati. “[Raja] mengeluarkannya dari penjara. Dia berbicara baik-baik kepadanya dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada kedudukan raja-raja yang ada bersama-samanya di Babel” (YEREMIA 52:31-32). Yoyakhin diberi kedudukan baru, pakaian baru dan kediaman baru. Kehidupan barunya dibiayai sepenuhnya oleh raja.

Kisah ini menggambarkan apa yang berlaku secara rohani, apabila tanpa sumbangan daripada diri sendiri atau orang lain, mereka yang percaya akan kematian dan kebangkitan Yesus Kristus dipulihkan daripada kerenggangan mereka dengan Tuhan. Mereka dibawa daripada kegelapan dan kematian kepada cahaya dan hidup; mereka dibawa ke dalam keluarga Tuhan kerana belas ihsan Tuhan yang berkelimpahan.