“Pagi ini saya sangka saya mempunyai sangat banyak wang; tetapi sekarang saya tidak pasti kalau saya mempunyai satu dolar.” Ulysses S. Grant, bekas presiden Amerika Syarikat berkata demikian pada hari wang simpanan seluruh hidupnya lesap akibat ditipu oleh seorang rakan kongsi perniagaannya. Beberapa bulan kemudian, Grant menerima diagnosis bahawa dia menghidapi kanser yang tidak terubat. Oleh sebab Grant ingin memberikan nafkah hidup kepada keluarganya, dia menerima tawaran daripada pengarang Mark Twain untuk menerbitkan memoirnya, yang telah disiapkannya seminggu sebelum dia meninggal dunia.

Alkitab memberitahu kita tentang seorang lagi yang menghadapi kesukaran teruk. Yakub percaya bahawa anaknya Yusuf telah “dikoyak-koyakkan oleh binatang” (KEJADIAN 37:33). Kemudian anaknya Simeon ditahan di negeri asing, dan Yakub takut bahawa anaknya Benyamin akan diambil daripadanya juga. Itulah saatnya Yakub berteriak kepiluan, “Akulah yang menderita!” (42:36, TMV).

Akan tetapi, itu bukan kenyataannya. Yakub tidak tahu bahawa anaknya Yusuf masih hidup dan Tuhan bekerja “di sebalik tabir” untuk memulihkan keluarganya. Kisah mereka menggambarkan bahawa Tuhan boleh dipercayai biarpun kita tidak melihat campur tangan-Nya dalam situasi kita.

Memoir Grant terbukti beroleh kejayaan besar dan daripada hasilnya, keluarganya dapat dijaga dengan baik. Walaupun dia tidak hidup untuk melihatnya, isterinya berpeluang menyaksikannya. Penglihatan kita terhad, tetapi Tuhan tidak. Dengan Yesus sebagai harapan kita, “jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita?” (ROMA 8:31). Semoga kita menaruh kepercayaan kepada-Nya pada hari ini.