Dalam pembuka kata puisinya, “Aku bukan sesiapa pun! Siapakah anda?” Emily Dickinson berseloroh tentang pelbagai usaha yang dilakukan oleh manusia untuk menjadi “orang penting”, sebaliknya dia mengesyorkan kebebasan penuh sukacita untuk menjadi orang tidak dikenali yang bahagia. Ini kerana, “Betapa membosankan–menjadi–Orang penting! Betapa dikenali umum–seperti Katak berkuak-kuak–/Menghebohkan nama sendiri–berulang-ulang tanpa henti/ Kepada Rawa yang kagum!”

Kebebasan yang diperoleh untuk tidak perlu menjadi “orang penting” sedikit sebanyak menggemakan kesaksian rasul Paulus. Sebelum Paulus bertemu dengan Kristus, dia mempunyai satu senarai panjang tentang kelayakan keagamaan yang kelihatan hebat, jelas memaparkan dia ada “alasan untuk mengharapkan hal lahiriah” (FILIPI 3:4).

Akan tetapi, pertemuan dengan Yesus mengubah segalanya. Apabila Paulus melihat betapa hampa pencapaian keagamaannya berbanding dengan kasih Kristus yang penuh pengorbanan, dia mengaku, “segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Kristus Yesus, Tuhanku … kerugian segalanya yang kukira sampah sarap belaka supaya aku mendapat untung iaitu Kristus” (AYAT 8). Selepas itu, satu-satunya matlamat hidup Paulus ialah “mengenal (Kristus) dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya” (AYAT 10).

Memang membosankan untuk cuba menjadi “orang penting” atas daya usaha sendiri.” Bagaimanapun, mengenal Yesus dan menenggelamkan diri kita dalam kasih dan hidup-Nya yang telah mengorbankan diri, adalah menemukan diri kita semula (AYAT 9), sehingga akhirnya kita menjadi bebas dan utuh.