Pemilik kedai buku di tempat yang Keith bekerja baru pergi bercuti selama dua hari, tetapi Keith selaku pembantunya sudah panik. Kegiatan perniagaan berjalan lancar, tetapi Keith bimbang bahawa dia tidak dapat menyelia kedai secara baik. Oleh itu, dia kegila-gilaan mengawal setiap perkara dengan sedaya upaya.

“Sudahlah,” majikan Keith akhirnya memberitahunya melalui panggilan video. “Apa yang perlu kamu lakukan adalah mengikut arahan yang saya e-melkan kepada kamu setiap hari. Jangan risau, Keith. Bukan kamu yang menanggung beban, tetapi saya.”

Pada masa konflik dengan bangsa-bangsa lain, Israel menerima firman yang serupa daripada Tuhan: “Diamlah” (MAZMUR 46:10). Pada dasarnya Tuhan berfirman, “Berhenti berusaha, hanya ikut apa yang Aku firmankan. Aku akan berjuang untuk kamu.” Israel tidak diberitahu untuk menjadi pasif atau leka, tetapi berdiam secara “aktif”, iaitu mentaati Tuhan dengan setia sambil menyerahkan segala keadaan dan hasil usaha mereka kepada-Nya.

Kita diseru untuk melakukan perkara yang sama, dan kita dapat melakukannya kerana Tuhan yang kita percayai adalah berdaulat di dunia. Jika “Allah berfirman lalu bumi pun lebur,” dan jika Dia boleh “menghentikan perang di serata bumi” (AYAT 6, 9), maka pastinya kita memperoleh jaminan akan perlindungan dan kekuatan-Nya (AYAT 1). Kita tidak dapat menanggung beban terhadap kawalan hidup kita—Tuhan yang sanggup.