Sebelum Besbol Siri Dunia berlangsung pada tahun 1906, penulis sukan Hugh Fullerton membuat ramalan yang pintar. Dia berkata bahawa pasukan Chicago Cubs, yang dijangka menang, akan kalah pada permainan pertama dan ketiga serta memenangi permainan kedua. Oh, hujan juga akan turun pada permainan keempat. Setiap ramalannya menjadi kenyataan. Kemudian pada tahun 1919, dia menganalisis bahawa pemain tertentu akan kalah dalam permainan Siri Dunia dengan sengaja. Fullerton mengesyaki mereka telah disogok oleh penjudi. Pendapat umum mencemuhnya. Tetapi sekali lagi, ramalannya tepat.

Fullerton bukanlah nabi—dia hanya seorang bijak yang meneliti bukti. Yeremia merupakan nabi sebenar yang nubuatnya sentiasa menjadi kenyataan. Sambil memasang kuk lembu pada tengkuknya, Yeremia memberitahu Yehuda untuk menyerah kepada orang Babel supaya mereka dapat hidup (YEREMIA 27:2, 12). Nabi sesat Hananya menentangnya dan mematahkan kuk (28:2-4, 10). Yeremia berkata kepadanya, “Dengarlah, wahai Hananya! TUHAN tidak mengutus engkau,” dia menambah, “Pada tahun ini juga engkau akan mati” (AYAT 15-16). Dua bulan kemudian, Hananya pun mati (AYAT 17).

Perjanjian Baru memberitahu kita, “Allah telah berfirman pada pelbagai zaman … kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi. Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya” (IBRANI 1:1-2). Melalui kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus, serta melalui Alkitab dan bimbingan Roh Kudus, kebenaran Tuhan masih mengajar kita pada hari ini.