Pada tahun 2021, seorang jurutera yang mempunyai cita-cita untuk menembak anak panah lebih jauh daripada sesiapa pun dalam sejarah menyasarkan rekod sejauh 618 meter. Ketika berbaring telentang di dataran garam, dia menarik tali busur daripada busur kaki yang direkanya sendiri dan bersedia untuk melancarkan anak panah ke arah sasaran yang dia berharap akan menjadi rekod jarak baharu . Sambil menarik nafas panjang, dia melepaskan anak panah itu. Namun anak panah tidak meluru satu meter pun, bahkan ia melayang kurang daripada itu kerana anak panahnya tersasar ke kakinya dan telah menyebabkan kecederaan yang teruk. Aduh!
Kadang-kadang kita secara kiasan boleh menembak kaki sendiri akibat cita-cita sesat. Yakobus dan Yohanes mengetahui apa yang dimaksudkan dengan mencita-citakan sesuatu yang baik, tetapi atas alasan yang salah. Mereka meminta Yesus, “Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu” (MARKUS 10:37). Yesus telah memberitahu para murid bahawa mereka akan“ bertakhta menghakimi dua belas suku Israel” (MATIUS 19:28), jadi mudahlah untuk mengerti sebabnya mereka membuat permintaan ini. Masalahnya? Mereka mementingkan diri dengan mencari kedudukan dan kuasa yang tinggi dalam kemuliaan Kristus. Yesus memberitahu bahawa mereka mempunyai salah faham tentang cita-cita (MARKUS 10:38) dan “sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu” (AYAT 43).
Apabila kita berhasrat untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan besar bagi Kristus, mohonlah hikmat dan pimpinan-Nya untuk melayani orang lain dengan rendah hati seperti yang telah dilakukan Yesus (AYAT 45).