Semasa membesar, Sean tidak berapa tahu tentang maksud mempunyai keluarga. Ibunya telah meninggal dunia dan ayahnya jarang berada di rumah. Dia sering berasa sunyi dan terbiar. Bagaimanapun, sepasang suami isteri yang tinggal berhampiran selalu mendampinginya. Mereka membawa Sean ke rumah mereka dan meminta anak-anak mereka menjadi “abang” dan “kakak” kepadanya. Tindakan suami isteri ini meyakinkan Sean bahawa dia disayangi. Mereka juga membawanya ke gereja. Kini, Sean seorang pemuda yang berkeyakinan dan merupakan pemimpin belia dalam gereja.

Walaupun pasangan ini memainkan peranan yang begitu penting untuk mengubah kehidupan seorang anak muda, apa yang dilakukan mereka untuk Sean tidak diketahui ramai dalam jemaah mereka. Akan tetapi, Tuhan tahu, dan saya percaya bahawa kesetiaan mereka akan diberikan ganjaran suatu hari nanti, sama dengan mereka yang tersenarai dalam “Angkatan Orang Beriman”. Ibrani 11 bermula dengan nama-nama besar dalam Alkitab, tetapi seterusnya menyebutkan banyak orang lain yang mungkin tidak akan kita kenali, mereka yang “mendapat kesaksian yang baik kerana iman” (AYAT 39). Bahkan “dunia,” kata penulis, “tidak layak menampung mereka” (AYAT 38).

Walaupun perbuatan baik kita tidak kelihatan oleh orang lain, Tuhan melihat dan mengetahuinya. Apa yang kita lakukan mungkin nampaknya seperti perkara kecil—suatu perbuatan baik atau kata-kata yang memberikan dorongan—tetapi Tuhan boleh menggunakannya untuk memuliakan nama-Nya, menurut masa dan cara-Nya. Dia tahu, walaupun orang lain tidak.