Projek Pakaian Merah diilhamkan oleh artis British, Kirstie Macleod, dan telah menjadi barangan pameran di muzium dan galeri di seluruh dunia. Selama tiga belas tahun, lapan puluh empat helai kain sutera merah manggis dibawa ke seluruh dunia untuk disulam oleh lebih daripada tiga ratus orang wanita (dan beberapa orang lelaki). Kain-kain sutera itu kemudiannya dijahit menjadi gaun, mengisahkan setiap artis penyumbang—kebanyakannya terdiri daripada golongan yang terpinggir dan miskin.

Seperti Pakaian Merah, pakaian Harun dan keturunannya dibuat oleh ramai “warga yang dikurniai kemahiran” (KELUARAN 28:3). Perintah Tuhan untuk pakaian imam meliputi perincian yang menceritakan kisah Israel secara keseluruhan, termasuk mengukir nama suku-suku pada batu permata oniks yang terletak pada bahu baju efod imam sebagai “tanda peringatan” di hadapan Tuhan (AYAT 12). Tunik, ikat pinggang bersulam, dan serban memberi imam “kemuliaan dan kehormatan” semasa mereka melayani Tuhan dan memimpin umat Tuhan dalam penyembahan (AYAT 40).

Sebagai orang yang mempercayai perjanjian baharu dalam Yesus, kita merupakan imam yang melayani Tuhan dan memimpin satu sama lain dalam penyembahan (1 PETRUS 2:4-5, 9); Yesus ialah Imam Besar kita (IBRANI 4:14). Walaupun kita tidak mengenakan pakaian tertentu untuk memperkenalkan diri kita sebagai imam, namun dengan pertolongan-Nya, kita dapat “bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (KOLOSE 3:12).