Ann berjumpa dengan pakar bedah mulutnya untuk membuat pemeriksaan awal. Pakar perubatan itu sudah dikenalinya bertahun-tahun lamanya. Dia bertanya kepada Ann, “Adakah puan mempunyai sebarang pertanyaan?” Ann berkata, “Ya. Adakah Doktor pergi ke gereja pada hari Ahad lepas?” Pertanyaannya bukan bertujuan untuk menghakimi, tetapi semata-mata untuk memulakan perbualan tentang iman.

Pakar bedah itu mempunyai pengalaman gereja yang kurang positif semasa muda, dan dia tidak pergi ke gereja lagi. Disebabkan pertanyaan Ann dan perbualan mereka, dia mempertimbangkan peranan Yesus dan gereja dalam hidupnya semula. Apabila Ann memberinya senaskhah Alkitab dengan namanya tertera di atasnya, dia menerimanya dengan linangan air mata.

Kadang-kadang kita takut akan konfrontasi atau tidak mahu kelihatan terlalu agresif ketika berkongsi iman kita. Akan tetapi, ada cara yang menarik untuk bersaksi tentang Yesus, iaitu dengan mengemukakan pertanyaan.

Yesus, sebagai manusia yang sepenuhnya Tuhan dan mengetahui segala sesuatu, Dia mengajukan banyak pertanyaan. Walaupun kita tidak tahu akan tujuan-Nya, jelas bahawa pertanyaan-pertanyaan-Nya mendorong orang lain untuk bertindak balas. Dia bertanya kepada murid-Nya Andreas, “Apa hajatmu?” (YOHANES 1:38). Dia bertanya kepada Bartimeus yang buta, “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?” (MARKUS 10:51; LUKAS 18:41). Dia bertanya kepada orang lumpuh itu, “Inginkah kamu sembuh?” (YOHANES 5:6). Transformasi berlaku untuk setiap individu ini selepas Yesus mengajukan pertanyaan ini terlebih dahulu.

Adakah seseorang yang anda ingin berkongsi tentang hal-hal keimanan? Mohonlah kepada Tuhan agar anda boleh mengajukan pertanyaan yang tepat.