Apabila seorang ibu tunggal terpaksa mencari kerja untuk menyara keluarganya pada tahun 1950-an, dia mendapat kerja-kerja menaip. Masalahnya dia bukan seorang jurutaip yang mahir dan selalu melakukan kesilapan. Maka dia mencari pelbagai cara untuk menutupi kesilapannya dan akhirnya mencipta apa yang dikenali sebagai pemadam cecair (Liquid Paper), sejenis cecair pembetulan berwarna putih yang digunakan untuk menutupi kesalahan menaip. Setelah ia kering, anda dapat menaip di atas tutupan itu seolah-olah tiada kesalahan.
Yesus memberi kita cara yang jauh lebih berkuasa dan penting untuk menangani dosa kita—pengampunan sepenuhnya. Satu contoh yang baik tentang hal ini ditunjukkan pada permulaan Yohanes 8 dalam kisah seorang perempuan yang ditangkap berzina (AYAT 3-4). Ahli-ahli Taurat mahu Yesus melakukan sesuatu terhadap perempuan itu atas dosa-dosanya. Hukum Taurat menetapkan bahawa perempuan itu harus direjam, tetapi Kristus tidak mengambil peduli untuk mempertimbangkan apa yang diperkatakan atau tidak diperkatakan oleh hukum. Dia hanya memberikan peringatan bahawa semua manusia telah berdosa (lihat ROMA 3:23) dan meminta sesiapa yang tidak berdosa untuk “merejam batu” kepada perempuan itu (YOHANES 8:7). Tidak ada seketul batu pun yang dilemparkan.
Yesus menawarkan satu permulaan baharu kepada perempuan itu. Dia berkata bahawa Dia tidak menghukumnya lalu menyuruhnya supaya “jangan berdosa lagi” (AYAT 11). Kristus memberi perempuan itu penyelesaian dengan mengampunkan dosanya dan “menaip” hidup baharu di atas kehidupan masa lalunya. Tawaran yang sama tersedia untuk kita dengan kasih kurnia-Nya.