Dalam bukunya yang berjudul Iman+Seni:Teologi Binaan (Art + Faith: A Theology of Making), artis terkenal Makoto Fujimura menghuraikan bentuk seni Jepun kuno yang disebut Kintsugi. Dalam seni ini, artis mengambil tembikar pecah (asalnya peralatan minum teh) dan mencantum serpihan-serpihan itu semula dengan lakuer dan m emas ke dalam rekahan. Fujimura menjelaskan seni “kintsugi” bukan sekadar ‘membetulkan’ atau membaiki cawan yang pecah; tetapi teknik tersebut menjadikan tembikar pecah itu lebih cantik daripada yang asal. Kintsugi, yang mula-mula dilaksanakan berabad-abad dahulu apabila cawan kegemaran panglima perang termusnah dan kemudian dipulihkan dengan indahnya, telah menjadi seni yang sangat berharga dan diingini.

Yesaya menggambarkan Tuhan secara berkarya melaksanakan pemulihan dunia seperti ini. Walaupun kita rosak disebabkan pemberontakan kita dan hancur disebabkan sifat mementingkan diri kita, Tuhan berjanji untuk “mencipta langit yang baru dan bumi yang baru” (65:17). Dia merancang bukan sahaja untuk membaiki dunia lama tetapi menjadikannya baharu sepenuhnya dengan mengambil kehancuran kita dan membentuk dunia yang berkilauan dengan keindahan segar. Ciptaan baharu ini akan sangat menakjubkan sehingga “segala kesesakan yang dahulu telah dilupakan” dan “hal-hal yang dahulu tidak akan diingat lagi” (AYAT 16-17). Dengan ciptaan baharu ini, Tuhan tidak akan bergegas untuk menutupi kesilapan kita tetapi Dia akan melepaskan tenaga kreatif-Nya—tenaga yang mengubah sesuatu yang hodoh menjadi indah dan memberikan semula nafas baharu kepada benda yang telah mati.

Apabila kita memeriksa hidup kita yang hancur, kita tidak perlu berputus asa. Tuhan sedang mengerjakan pemulihan-Nya yang indah.