Dale Earnhardt Jr. menceritakan saat yang menyedihkan ketika dia menyedari bapanya sudah meninggal dunia. Bapanya, Dale Earnhardt Sr., iaitu seorang pelumba motor yang terkenal baru sahaja terbunuh dalam kemalangan ngeri pada penghujung perlumbaan Daytona 500 yang turut disertai Dale Jr. “Ada bunyi dalaman yang saya tidak dapat huraikan timbul daripada saya,” kata Earnhardt Jr. “[Ia] satu laungan yang penuh kejutan dan kepiluan—dan ketakutan.” Kemudian muncullah hakikat sepi tentang kematian bapanya: “Saya perlu menghadapinya seorang diri.”

“Memiliki Ayah adalah seperti mempunyai nota jawapan,” jelas Earnhardt Jr. “Memiliki Ayah rasanya seperti mengetahui semua jawapan.”

Murid-murid Yesus telah yakin bahawa Dia memiliki semua jawapan. Pada malam sebelum penyaliban-Nya, Dia meyakinkan mereka bahawa Dia tidak akan meninggalkan mereka sendirian. Yesus berkata, “Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. Penolong itu Roh Kebenaran” (YOHANES 14:16-17).

Yesus memberikan penghiburan itu kepada semua orang yang percaya kepada-Nya. “Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku,” kata-Nya. “Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya” (AYAT 23).

Mereka yang memilih untuk mengikut Kristus akan memiliki Roh Kudus dalam diri mereka yang mengajar mereka “segala-galanya” dan memperingatkan mereka tentang apa yang diajarkan oleh Yesus (AYAT 26). Kita tidak ada semua jawapan, tetapi kita mempunyai Roh Kudus yang mengetahui segala sesuatu.