Membuat bangku bukanlah tugas James Warren. Walau bagaimanapun, dia mula membuatnya apabila dia terlihat seorang perempuan di Denver duduk di atas tanah semasa menunggu bas. Warren gelisah kerana keadaannya itu “menjatuhkan martabat”. Oleh itu, perunding tenaga kerja yang berusia dua puluh lapan tahun itu menemukan beberapa kepingan kayu untuk membuat sebuah bangku, dan meletakkannya di perhentian bas tersebut. Bangku itu segera digunakan. Selepas menyedari bahawa kebanyakan sembilan ribu buah perhentian bas di bandar rayanya itu kekurangan tempat duduk, dia membuat sebuah bangku lagi, kemudian beberapa buah lagi, dengan mengukir ungkapan “Berbuat baiklah” pada setiap bangku. Apakah matlamat Warren? “Menjadikan kehidupan orang lebih baik dalam apa jua cara yang saya mampu,” katanya.

Tindakan seperti itu menonjolkan belas kasihan. Sebagaimana yang dilakukan oleh Yesus, belas kasihan adalah suatu perasaan yang amat kuat sehingga mendorong kita bertindak untuk memenuhi keperluan orang lain. Apabila orang ramai yang terdesak mengerumuni Yesus, “hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka kerana mereka ibarat domba tanpa gembala” (MARKUS 6:34). Dia menyatakan belas kasihan itu dengan menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka (MATIUS 14:14).

Kita juga haruslah “bersifat belas kasih,” gesa Paulus (KOLOSE 3:12). Apa manfaatnya? Sebagaimana dikatakan oleh Warren, “Ia mengisi jiwa saya,bagaikan angin di dalam tayar saya.”

Keperluan ada di sekeliling kita dan Tuhan akan menarik perhatian kita mengenainya. Keperluan itu dapat menggerakkan kita untuk bertindak dengan belas kasihan, dan tindakan itu akan mendorong orang lain apabila kita menunjukkan kasih Kristus kepada mereka.